senang je… mat salleh cakap melayu je terus jadi artis..

“senang je… mat salleh cakap melayu je terus jadi artis… senang betul buat duit….”


Ada juga orang persoalkan kenapa saya buat video2 dekat Malaysia dan apa purpose nya. “tak laku negara sendiri”…. “lapar perhatian”…. “nak buat duit je”… “penjajah datang balik” dan sebagainya… Sejujurnya masa mula pun tak pernah ada niat nak jadi “famous” atau jadi “artis”. Saya buat sebab saya memang suka makanan Malaysia, dan suka mempromosikan makanan Malaysia. Sampai sekarang pun saya tak anggap diri sebagai “famous” atau “artis” pun 😅


Sedar tak sedar dah lebih 5 tahun sejak video pertama saya review makanan Malaysia dikeluarkan, dan hampir 7 tahun sejak start blog “matsallehcarimakan”. Rasanya dah lebih 200 video saya pernah buat. Total views pun dah lebih 25 juta tahu 🤯


Memang saya rasa seronok nak buat. Tapi bagi saya apa yang lagi seronok adalah bila saya dapat jumpa balik dengan pemilik kedai, chef dan orang yang saya pernah buat video bersama. Ada yang dari 5 tahun lepas, ada yang dari beberapa bulan lepas. Walaupun dah lama tak jumpa, mereka masih sambut saya dengan meriah dan tangan terbuka. Macam jumpa kawan lama.


I fikir juga, siapa lah saya untuk dapat sambutan macam ni? Saya just buat video je pun. Buat video pun bukan hebat sangat tu. Tapi bila dengar mereka bercerita bahawa ada impak video tu pada perniagaan mereka, dan macam mana setelah itu bisnes berkembang maju, saya rasa sangat terharu. Ada yang kata sampai hari ni orang masih datang sebab video saya pernah buat bertahun lepas. Tak sangka ia boleh ada impak macam ni dekat orang lain. Rasa terharu sangat… rasa sebak pun ada.. 😢


Masa dapat duduk bersama dan sembang bersama adalah satu pengalaman yang sangat indah bagi saya. Dengar mereka berkongsi tentang selok-belok perjalanan perniagaan, suka-duka yang pernah mereka lalui dan pencapaian yang telah dicapai. Secara tak langsung macam dah jadi kawan dah apabila kami saling berkongsi.


Sebab ini lah saya tak pandang kalau ada yang kecam, memandang rendah atau beri komen negatif pada saya sebab saya dah nampak kesan video dan aktiviti saya di Malaysia. Dan boleh nampak sendiri apa purpose saya dan kenapa saya buat begini.


Ia akan bagi saya semangat untuk teruskan! Selagi ada rezeki di sini, saya akan masih ada di sini 🤗


Juga saya nak ucap ribuan terima kasih kepada korang semua yang baca ni dan follow dan support saya sampai ke hari ni ❤️

Meneroka makanan tradisional British versi halal di London

Antara semua post dalam blog ni, yang paling popular ialah blog tentang London, Dan juga ramai orang mesej saya tanya saya tentang London, terutamanya tentang makanan di sana..

Tahun 2017, saya balik kampung, tapi bukan semata-mata, sebenarnya saya nak buat kajian tentang “makanan tradisional british” tapi versi halal.

Jadi, untuk orang yang ada plan nak pergi ke London, dan nak cuba rasa makanan tradisional tapi versi halal.. bolehlah tengok video siri yang di bawah ni 🙂

Fish and Chips

Fish & Chips memang terkenal sebagai makanan tradisional British. Dalam episod ini, Rhys akan membongkar rahsia di sebalik proses penyediaan hidangan terkenal ini dari ikan dan ubi kentang mentah menjadi hidangan ikonik UK.

Chippy, iaitu kedai yang menghidangkan Fish & Chips di UK boleh didapati di hampir segenap pelusuk United Kingdom. Namun hati-hati, tidak semuanya menghidangkan hidangan yang halal, kerana secara asli, bater yang digunakan dicampur dengan minuman seperti arak. Mr Fish memastikan semua makanannya dijamin halal.

Jellied Eels

Jellied Eels atau dalam Bahasa Melayu, Agar-Agar Belut merupakan makanan tradisional British yang berasal sejak abad ke-18, dan terkenal di London.

Revolusi Industri merupakan kemuncak populariti makanan ini apabila Jellied Eels menjadi makanan harian orang di London. Oleh kerana keadaan Sungai Thames yang kotor dan tercemar ketika itu, banyak spesis ikan yang tidak bertahan, kecuali belut.

Jellied Eels merupakan makanan yang mudah untuk disediakan. Belut dipotong dan dimasak dalam air dan cuka, kemudian ditambah sedikit rempah seperti buah pala dan jus lemon. Oleh kerana belut merupakan makanan yang semula jadi gelatin, belut yang dimasak mengeluarkan protein, seperti kolagen dan apabila disejukkan terhasil jeli.

Pie and Chips

Pie merupakan makanan yang sudah wujud di zaman pemerintahan Rom dan Mesir Purba. Pai tiba di England seawal abad ke-12 dan merupakan antara makanan yang paling sinonim dengan masyarakat Britain.

Walaubagaimanapun, agak sukar mencari restoran yang menghidangkan pie yang halal, kerana menjadi kebiasaan pie disediakan di pub. Rhys William​ dalam pengembaraan Mat Salleh Cari Makan​ singgah ke restoran Pie Republic​ yang menyajikan makanan Tradisional British yang dijamin Halal.

British Curry

Kari memang sinonim dengan masyarakat India, tapi tahukah anda kari sudah menjadi makanan kebangsaan United Kingdom. Selain daripada peningkatan masyarakat etnik India dan Pakistan di UK, kari merupakan makanan kegamaran Queen Victoria dan sudah mula diperkenalkan kepada rakyat UK seawal abad ke-18.

Kari di UK adalah berbeza dengan kari di India mahupun di Malaysia. Ianya telah diubah suai sesuai dengan cita rasa tempatan.

Afternoon Tea

Kalau di Malaysia kita ada sesi “mengeteh”, di UK mereka panggil Afternoon Tea!

Afternoon Tea merupakan sebahagian dari budaya United Kingdom dan menjadi amalan kebanyakan di UK, dari Istana hinggalah ke rumah-rumah rakyat biasa.

Rhys William ke Kafe Muffin Man, sebuah kafe yang terkenal di London dengan pelbagai hidangan tradisional British.

Nasi Kandar Penang di Petaling Jaya?

Tuudiaa Mat Salleh ni mai dahh !!

Kali ni Rhys William bawak hangpa semua pekena nasi kandaq yang legend di PJ. Nak tau awat depa kata kedai ni legend dan terbaik?

Ok, minta maaf untuk “loghat utara” saya ya, banyak lagi kena belajar ?

Jom tengok “Mat Salleh Cari Makan” dan saksikan macam mana Nasi Kandar dimasak . Ada tetamu istimewa tau!