Anak Rhys “Hantu” Satay Muar..

Perghh, rasa macam dah lama Rhys tak buat video… rindu jalan-jalan dan makan-makan.. ?

Sekarang Malaysia dah masuk ke PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) maksudnya kita dah boleh merentas negeri dan berjalan-jalan kalau kita ikut SOP.

Ini kali pertama Rhys keluar berjalan dengan keluarga sejak Mac lalu, dan juga kali pertama family rhys masuk video… ?

Weekend lepas kami ke Muar, Johor untuk misi makan sarapan satay dan jalan-jalan di Muar. Rhys cuba buat vlog sikit tentang aktiviti-aktiviti Rhys semasa di Muar.

Harap korang semua suka vlog style macam ni (ni rhys shoot dan edit semua sendiri tau… jadi maaf kalau kualiti agak kurang haha)

Dan ye betul… Leo memang kuat makan hahaha…. nak jadi food reviewer macam bapak dia kot ?

Enjoy!

Misi Mencari Baba Nyonya Cendol di Melaka

Disebabkan oleh kedudukan Malaysia di garisan khatulistiwa, Cendol merupakan hidangan pencuci mulut yang sangat terkenal. Seperti yang kita tahu, Malaysia beriklim panas lembab menjadikan hidangan sejuk seperti cendol digilai ramai.

Cendol pada asalnya merupakan hidangan pencuci mulut yang berasal dari masyarakat Melayu. Tetapi di masa peti ais belum wujud, dan ais masih belum tiba di Tanah Melayu, cendol hanya dihidangkan bersama santan dan gula melaka sahaja.

Kemunculan pelabuhan besar seperti Melaka dan Pulau Pinang, serta kemasukan ais dari negara luar menjadikan Cendol hidangan seperti dikenali kini.

Di Melaka, kaum Baba Nyonya khususnya cukup terkenal dengan Cendol mereka.

5 ramuan utamanya adalah

  • Cendol, Jeli Tepung Beras yang diwarnakan oleh Tepung Cendol.
  • Santan, yang diambil segar dan diperah tanpa tambahan air yang banyak.
  • Kacang, yang direbus sendiri.
  • Ais yang dikisar halus.
  • Gula Melaka yang tinggi kualiti dan tulen rasanya.

Meneroka makanan tradisional British versi halal di London

Antara semua post dalam blog ni, yang paling popular ialah blog tentang London, Dan juga ramai orang mesej saya tanya saya tentang London, terutamanya tentang makanan di sana..

Tahun 2017, saya balik kampung, tapi bukan semata-mata, sebenarnya saya nak buat kajian tentang “makanan tradisional british” tapi versi halal.

Jadi, untuk orang yang ada plan nak pergi ke London, dan nak cuba rasa makanan tradisional tapi versi halal.. bolehlah tengok video siri yang di bawah ni 🙂

Fish and Chips

Fish & Chips memang terkenal sebagai makanan tradisional British. Dalam episod ini, Rhys akan membongkar rahsia di sebalik proses penyediaan hidangan terkenal ini dari ikan dan ubi kentang mentah menjadi hidangan ikonik UK.

Chippy, iaitu kedai yang menghidangkan Fish & Chips di UK boleh didapati di hampir segenap pelusuk United Kingdom. Namun hati-hati, tidak semuanya menghidangkan hidangan yang halal, kerana secara asli, bater yang digunakan dicampur dengan minuman seperti arak. Mr Fish memastikan semua makanannya dijamin halal.

Jellied Eels

Jellied Eels atau dalam Bahasa Melayu, Agar-Agar Belut merupakan makanan tradisional British yang berasal sejak abad ke-18, dan terkenal di London.

Revolusi Industri merupakan kemuncak populariti makanan ini apabila Jellied Eels menjadi makanan harian orang di London. Oleh kerana keadaan Sungai Thames yang kotor dan tercemar ketika itu, banyak spesis ikan yang tidak bertahan, kecuali belut.

Jellied Eels merupakan makanan yang mudah untuk disediakan. Belut dipotong dan dimasak dalam air dan cuka, kemudian ditambah sedikit rempah seperti buah pala dan jus lemon. Oleh kerana belut merupakan makanan yang semula jadi gelatin, belut yang dimasak mengeluarkan protein, seperti kolagen dan apabila disejukkan terhasil jeli.

Pie and Chips

Pie merupakan makanan yang sudah wujud di zaman pemerintahan Rom dan Mesir Purba. Pai tiba di England seawal abad ke-12 dan merupakan antara makanan yang paling sinonim dengan masyarakat Britain.

Walaubagaimanapun, agak sukar mencari restoran yang menghidangkan pie yang halal, kerana menjadi kebiasaan pie disediakan di pub. Rhys William​ dalam pengembaraan Mat Salleh Cari Makan​ singgah ke restoran Pie Republic​ yang menyajikan makanan Tradisional British yang dijamin Halal.

British Curry

Kari memang sinonim dengan masyarakat India, tapi tahukah anda kari sudah menjadi makanan kebangsaan United Kingdom. Selain daripada peningkatan masyarakat etnik India dan Pakistan di UK, kari merupakan makanan kegamaran Queen Victoria dan sudah mula diperkenalkan kepada rakyat UK seawal abad ke-18.

Kari di UK adalah berbeza dengan kari di India mahupun di Malaysia. Ianya telah diubah suai sesuai dengan cita rasa tempatan.

Afternoon Tea

Kalau di Malaysia kita ada sesi “mengeteh”, di UK mereka panggil Afternoon Tea!

Afternoon Tea merupakan sebahagian dari budaya United Kingdom dan menjadi amalan kebanyakan di UK, dari Istana hinggalah ke rumah-rumah rakyat biasa.

Rhys William ke Kafe Muffin Man, sebuah kafe yang terkenal di London dengan pelbagai hidangan tradisional British.