Aku secucuk satay.. Sate Maharani Muar

Di mana pun di muka bumi ini, setiap budaya mempunyai versi daging di atas lidi masing-masing. Di Jepun adanya Yakitori, di Negara-negara Caucasus – Shashlik, Turki – Shish Kebab dan di Nusantara, itulah Sate.

Sate merupakan makanan yang sudah bertapak di Malaysia ratusan tahun lamanya. Berasal dari Kepulauan Jawa, Sate tiba di Malaysia melalui penghijrahan etnik Jawa ke negeri-negeri seluruh Malaysia, termasuklah Muar, Johor.

Uniknya hidangan Sate di Muar bukan sahaja pada rasanya tetapi hidangan ini disajikan sebagai sarapan. Di bandar Muar sahaja, terdapat tidak kurang dari 15 gerai dan restoran yang menyajikan Sate sebagai sarapan.

Sate merupakan hidangan berasaskan daging seperti ayam dan lembu. Organ dalaman seperti perut juga digunakan untuk membuat sate. Kebiasaanya daging di selang selikan bersama lemak dan dicucuk menggunakan lidi buluh.

Sate diperap menggunakan rempah ratus seperti kunyit, jintan manis, serai, dan lain-lain. Sate kemudiannya di panggang di atas bara cukup sekadar memasak daging tersebut. Proses ini amat rumit dan memerlukan ketelitian yang tinggi untuk mengelak lidi terbakar dan daging terlebih masak.

Sate kebiasaanya dihidang bersama nasi impit dan juga kuah kacang. Di Muar ini, sate dihidang terlebih dahulu, kemudiannya lidi sate yang dimakan dikira untuk bayaran.

Mee Bandung Muar di Restoran Murtabak Tanah Melayu

Mee Bandung merupakan makanan yang berasal dari daerah Muar di negeri Johor.

Bandung membawa maksud berkembar atau berpasangan, dalam hal ini Mee Bandung merupakan sejenis hidangan yang menggabungkan mee dan telur.

Hidangan ini sudah pun terkenal diseluruh Malaysia tetapi ramai yang masih mengganggap bahawa Muar adalah tempat terbaik untuk merasai kenikmatan Mee Bandung yang asli.

Saya singgah ke Restoran Murtabak Tanah Melayu yang terletak bersebelahan dengan Kilang ST untuk merasai Mee Bandung asli Muar.

Misi Mencari Baba Nyonya Cendol di Melaka

Disebabkan oleh kedudukan Malaysia di garisan khatulistiwa, Cendol merupakan hidangan pencuci mulut yang sangat terkenal. Seperti yang kita tahu, Malaysia beriklim panas lembab menjadikan hidangan sejuk seperti cendol digilai ramai.

Cendol pada asalnya merupakan hidangan pencuci mulut yang berasal dari masyarakat Melayu. Tetapi di masa peti ais belum wujud, dan ais masih belum tiba di Tanah Melayu, cendol hanya dihidangkan bersama santan dan gula melaka sahaja.

Kemunculan pelabuhan besar seperti Melaka dan Pulau Pinang, serta kemasukan ais dari negara luar menjadikan Cendol hidangan seperti dikenali kini.

Di Melaka, kaum Baba Nyonya khususnya cukup terkenal dengan Cendol mereka.

5 ramuan utamanya adalah

  • Cendol, Jeli Tepung Beras yang diwarnakan oleh Tepung Cendol.
  • Santan, yang diambil segar dan diperah tanpa tambahan air yang banyak.
  • Kacang, yang direbus sendiri.
  • Ais yang dikisar halus.
  • Gula Melaka yang tinggi kualiti dan tulen rasanya.