Murtabak Singapura di Muar

Murtabak merupakan makanan yang sangat terkenal di Malaysia. Hampir di semua pasar malam, warung mamak dan anjung selera menjamu hidangan ini. Berasal dari perkataan arab “Mutabbaq” yang bererti lipatan, hidangan ini dipercayai datang ke Kepualauan Nusantara dari wilayah Arab. Ada juga yang mengatakan, walaupun namanya berasal dari Arab, makanan ini sebenarnya datang dari Selatan India. Yang manu satu yang betul, tak penting kerana murtabak kali ini lain dari lain.

Di selatan tanah air, wuju sejenis murtabak yang sangat istimewa dan unik, namanya Murtabak Singapura. Dari sudut fizikal, ternyata murtabak singapura sangat besar berbanding murtabak yang biasa didapati di pasar malam. Yang lebih menarik adalah lapisan roti dan isinya. Kebiasaan murtabak intinya berada di dalam lipatan roti, tapi lain pula dengan Murtabak Singapura ini.

Lapisan pertama serupa dengan murtabak biasa, tetapi kemudiannya disalut lagi dengan telur dan daging di bahagian luar. Ini menjadikannya sangat berlapis dan sedap sekali dijamah bersama keluarga dan rakan-rakan.

Kacang Pool Haji di Johor Bahru

Kacang Pool merupakan makanan yang sinonim dengan masyarakat Johor, namun begitu hidangan ini bukan pula makanan tradisional yang berusia ratusan tahun, malah tidak lebih 2 dekad usianya.

Hidangan yang datang dari Arab ini merupakan hasil cetusan ilham Haji Makpol, pengusaha warung makan ketika itu. Ketika perjalanannya menunaikan haji, beliau mendapati hidangan berasaskan kacang parang ini sangat terkenal di Mekah. Haji Makpol berusaha membina semula hidangan ini sesuai dengan lidah dan rasa warga tempatan.

Walaupun pada mulanya pelbagai cabaran dihadapi untuk mempromosikan hidangan ini, berkat usaha beliau, Kacang Pool kini merupakan makanan yang sangat terkenal bukan sahaja di Johor malah di seluruh Malaysia.

Daging Salai Masak Lemak Cili Api – Rhys Tak Tahan Pedas!

Salai daging merupakan antara proses pengawetan sumber makanan yang sudah dikenal pasti sejak pra sejarah. Manusia di seluruh dunia, menggunakan teknik salai untuk memastikan sumber makanan seperti daging dapat bertahan lama.

Malaysia juga terkenal dengan daging salai, terutamanya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kami singgah ke Zaini Salai House dan menemu bual pemilik restoran tersebut, En Zaini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai proses salai dan hidangan tradisional Negri Sembilan.

Daging yang disalai kemudiannya dimasak menjadi lemak cili api ataupun rendang. Ramai yang sudah beri amaran kepada saya, hidangan ini pedas, tapi saya ingin mencubanya juga.