Roti Canai yang Celaru di Alor Setar

Roti Canai merupakan sarapan yang sangat terkenal di seluruh Malaysia. Saya kini berada di Alor Setar, Kedah untuk mencuba sejenis variasi roti canai yang dikenali sebagai Roti Doll di warung Roti Celaru, Alor Setar.

Roti doll merupakan roti canai biasa yang dibanjiri kuah dal dan sambal. Di atasnya pula ada telur goreng mata kerbau.

Gerai Roti Celaru ini memang padat dengan pengunjung dan sekiranya lewat, pesanan anda akan tiba agak lambat kerana tempahan yang sangat banyak.

Berbaloi ke menunggu hampir sejam untuk juadah ini?

Lontong Basah dan Lontong Kering di Johor Bahru

Lontong atau dikenali sebagai Lodeh merupakan makanan yang berasal dari Jawa. Migrasi keturunan Jawa ke Tanah Melayu, terutamanya di Johor membawa hidangan lazat ini dan menjadikannya satu hidangan ikonik di negara Malaysia.

Lontong merupakan sejenis makanan berasaskan sayuran, terdiri daripada tempe, kacang kacang panjang, kobis, lobak dan tahu. Di Johor terdapat dua jenis Lontong iaitu Basah dan Kering. Lontong Basah di masak dalam kuah lemak yang diletak sedikit kunyit, memberi kan warna kuning keemasan. Kedua-duanya dihidang bersama nasi impit dan juga kuah kacang.

Saya terkejut melihat hidangan lontong disediakan di Johor sebagai sarapan, kerana kebiasaannya di negeri-negeri lain, lontong hanya disediakan pada hari raya atau pun keraian yang lain.

Ayam Pongteh dan Hidangan Baba Nyonya di Melaka

Masyarakat Baba dan Nyonya sememangnya terkenal di Melaka. Masyarakat ini juga terkenal dengan makanan tradisinya turun temurun dari nenek moyang mereka. Kebiasanya makanan kaum Baba berasal dari masakan Cina tetapi disesuaikan dengan selera yang gemarkan masakan pedas kaum Melayu.

Uniknya masakan Baba Nyonya ini adalah gabungan rasa dan cara masakan kaum Cina, Melayu dan India. Membuatkan masakan ini mempunyai profil rasa yang menyeluruh.