Roti Terbang Asam Pedas Banjir di Melaka

Asam Pedas merupakan makanan dari suku etnik Minangkabau dan sangat terkenal di Melaka. Hidangan ini sangat ikonik sehingga menjadi makanan utama penduduk negeri Melaka. Hampir di setiap penjuru negeri bersejarah ini terdapat warung atau restoran yang menyediakan Asam Pedas.

Hari ini, saya singgah ke Ujang Asam Pedas Claypot yang terletak di Pasar Besar Batu Berendam. Gerai ini beroperasi bermula jam 6 petang sehingga 5 pagi. Uniknya medan selera Pasar Besar Batu Berendam ini adalah hampir semua peniaga menjual hidangan yang sama, iaitu Asam Pedas. Masing-masing mempunyai citarasa yang tersendiri.

Dalam video ini, saya mencuba 3 jenis asam pedas, iaitu itu Tetel, Telur Ikan Mayon dan Tenggiri dan Ikan Tenggiri. Semua hidangan beserta set nasi bermula dari 8-12 ringgit.

Di samping menjamu selera, anda boleh juga melihat gelagat pembuat roti menebar roti canai terbang. Sangat menarik. yang istimewanya, anda boleh merasai roti canai beserta asam pedas. Memang sedap!

Roti Canai yang Celaru di Alor Setar

Roti Canai merupakan sarapan yang sangat terkenal di seluruh Malaysia. Saya kini berada di Alor Setar, Kedah untuk mencuba sejenis variasi roti canai yang dikenali sebagai Roti Doll di warung Roti Celaru, Alor Setar.

Roti doll merupakan roti canai biasa yang dibanjiri kuah dal dan sambal. Di atasnya pula ada telur goreng mata kerbau.

Gerai Roti Celaru ini memang padat dengan pengunjung dan sekiranya lewat, pesanan anda akan tiba agak lambat kerana tempahan yang sangat banyak.

Berbaloi ke menunggu hampir sejam untuk juadah ini?

Lontong Basah dan Lontong Kering di Johor Bahru

Lontong atau dikenali sebagai Lodeh merupakan makanan yang berasal dari Jawa. Migrasi keturunan Jawa ke Tanah Melayu, terutamanya di Johor membawa hidangan lazat ini dan menjadikannya satu hidangan ikonik di negara Malaysia.

Lontong merupakan sejenis makanan berasaskan sayuran, terdiri daripada tempe, kacang kacang panjang, kobis, lobak dan tahu. Di Johor terdapat dua jenis Lontong iaitu Basah dan Kering. Lontong Basah di masak dalam kuah lemak yang diletak sedikit kunyit, memberi kan warna kuning keemasan. Kedua-duanya dihidang bersama nasi impit dan juga kuah kacang.

Saya terkejut melihat hidangan lontong disediakan di Johor sebagai sarapan, kerana kebiasaannya di negeri-negeri lain, lontong hanya disediakan pada hari raya atau pun keraian yang lain.